Monday, November 30, 2009

SURAT UMMU JAH TENTANG POLIGAMI

Thursday, April 05, 2007
Buat anak-anakku semuanya, khusus kepada Ummu Athiah dan Khaulah di Jordan, yang bertanya Mengapa poligami.

Anak-anak perempuan,

Sepertimana ibumu ini, maka kamu juga Ibu yakin akan dipoligamikan.

Oleh kerana hari ini, konsep poligami begitu disalah ertikan, maka biarlah Ibu terangkan kepadamu, Mengapa Allah lakukannya untuk kita. Dan perlu sekali kamu tahu, bahwa Bapa kamu lah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya memperjuangkan ini semua untuk kita.


Anak-anakku sayang,

Mendirikan rumah tangga ialah merancang masa depan bagi kehidupan yang sesempurna-purnanya. Didalamnya biarlah sebuah environment yang kita boleh dapat segala-gala yang kita perlukan, yang siapapun saja yang lahir dan berada di sana pasti tumbuh dengan penuh kesuburan dan kesempurnaan.

Kamu tahu anakku, manusia tumbuh tidak seperti pertumbuhan pokok yang hanya perlukan makanan fizikal semata-mata seperti cahaya matahari, air, dan karbondiaoksida. Kalau itu semua cukup pokok akan subur hingga melahirkan buah-buah yang sedap-sedap. Tapi tidak dengan manusia, kecukupan keperluan fizikal semata-mata tidak menjamin sama sekali manusia dapat buahkan akhlak yang mulia, yang akan memartabatkan kesedapan orang padanya. Manusia amat perlukan layanan mental dan roh yang cukup seimbang.


Anakku,

Sudah ramai kita lihat bukan, manusia yang tidak dibelai rohnya telah lebih jahat dari binatang. Lalu tidakkah kamu menganggap bahwa kemiskinan fizikal sebenarnya tidaklah membawa akibat yang seteruk bilamana manusia dilanda kemiskinan jiwanya.


Anak-anak buah hati ibu,

Lalu dalam sebuah rumah tangga itu, ketuanya yang bijak tentu akan menyediakan zat-zat yang lengkap untuk roh, mental dan fizikal. Kerana rumah tangga sebenarnya adalah sebuah institusi pembinaan insaniah yang paling asasi. Dia mesti dipersiapkan terbaik dan terlengkap daripada institusi-institusi lain. Dengan kata-kata lain, kalau institusi pertanian saja mempunyai environment yang begitu complite dan sophisticated, peralatan canggih dan pegawai-pegawai pakar yang begitu banyak dan ramai dengan membina pokok-pokok, apa pendapatmu tentang institusi manusia ini.


Ayahmu memilih untuk melahirkan kamu dalam sebuah institute dunia dan akhirat. Didalamnya dia menyediakan sekurang-kurangnya 10 dewan kuliah yang membekalkan kepada penghuninya sekurang-kurangnya 10 keperluan insaniah mereka.

1. Pengurusan dan Pentadbiran

2. Persekolahan dan Pendidikan

3. Peribadahan

4. Perpaduan dan Kasih Sayang

5. Pemakanan dan Pakaian

6. Kewangan dan Ekonomi

7. Kejiranan dan Tetamu

8. Perhubungan Luar

9. Kebersihan

10. Kepimpinan


Anak-anakku sayang,

Bapa adalah pemimpin dalam masyarakat kecil ini. Dia mesti dapatkan pegawai-pegawai pelaksana, polisi kepimpinannya yang mampu menerima arahannya dari masa ke masa. Dia sendiri tidak boleh fokus pada satu-satu tugas atau jawatan. Kerana dia mesti berwatak global.


Kamu setuju tak, kalau ibu katakan bahwa sebenarnya isteri lah pelaksana yang setepat-tepatnya untuk seorang suami dalam rumah tangga. Tapi kalau seorang saja pelaksana itu, tentulah tidak sempurna bukan. Kesempurnaan yang sebenarnya ialah kalau ada empat.

· Ibu A - pegang bahagian Pengurusan, Pentadbiran, Kewangan.

· Ibu B - bertanggung jawab tentang Persekolahan, Pendidikan, Peribadahan, dan perpaduan serta Kasih Sayang.

· Ibu C - tumpukan pada pemakanan, tempat tinggal, pakaian dan kebersihan.

· Ibu D - ambil kerja-kerja melayan jiran, tetamu, hubungan luar, dan Penjagaan Kawasan dan lain-lainnya.


Anak-anakku,

Apa kamu tidak idamkan istana yang global ini. Tidak indahkah punya empat ibu yang menyayangi dan bertanggung jawab. Cacatkah rupanya institute kelahiranmu ini kerana poligami. Berdosakah bapamu kerana memberikan ini pada empat orang wanita dan berpuluh-puluh orang anaknya yang dilahirnya.


Wahai cahaya mata ayah bonda,

Ibu tahu, kau tanyakan tentang perasaan ibu, kerana bapa menggilirkan kasihnya untuk isteri-isterinya. Oleh kerana di tempat pengajianmu kau takkan dapat jawapan bagi persoalaan ini, biar ibu jawabkan disini.


Sebenarnya salah faham umat Islam hari ini bukan saja tentang konsep poligami, bahkan konsep sembahyang itupun, sudah jauh lari dari kebenaranya. Sembahyang yang begitu agung dilihat begitu kecil dan ketinggalan, apa lagilah poligami ini, dan hakikat hidup dan erti kasih sayang itu. Ada orang bertanya kepada Rasulullah "apakah Tuan tidak sayang pada Aisyah wahai Rasul, hingga dia dipoligamikan?". Perhatikan jawapan Rasululah ini anakku, "bahkan poligami inilah kasih sayang ku padanya".


Anakku,

Kasih sayang itu bukan kerana tidur bersama setiap malam. Tidak juga kerana semua kekayaan tidak dikongsi dengan orang lain. Kamukan tahu tentang adanya suami-isteri yang tiap-tiap hari mereka bergaduh, walhal mereka hanya berdua dan cukup kaya. Sebaliknya kamu yang 8 beradik terpaksa kongsi kasih ibu dan ayah, tak pernah persoalkan tentang kasih sayang ibu ayah. Rasanya cukup saja semuanya. Ingat tak waktu kamu baru ada tiga adik, selalu bertanya ibu kenapa tak dapat adik lagi. Kamu tak cukup adik tiga, nak lagi. Hingga sekarang sudah jadi 8. Kalau campur semua sudah berpuluh, ada ke kamu merasa malang kerana punyai ramai saudara-mara. Bukankah kamu bertuah kerana punyai ramai manusia yang saling mencintai.


Anak-anakku,

Dunia sedang cukup kagum kepada seorang wanita yang berkaya sanggup korban perasaan demi keluarga. Dan dunia pun juga cukup marah dengan wanita yang mementingkan diri membiarkan suami dan anak-anaknya. Sebenarnya anakku, poligami meminta wanita mengorbankan sikap mementingkan diri sendiri, sombong, tamak, hasad dengki, dendam kesumat dan gila dunia, supaya mereka jadi ibu-ibu manusia yang benar-benar berwatak ibu, mementingkan orang lain, merendah diri, pemaaf, pemurah, berwatal akhirat, berjuang di jalan Allah dan lain-lain. Berkongsi haknya, saling bantu-membantu dan merendah diri bukankah indah-indah semuanya anakku.


Lalu kalau ayahmu menciptakan itu untuk ibumu ini, environment yang begitu sekali, apa yang tak kenanya. Dan salahkah ayahmu menemankan ibu dengan adik dan kakak yang saling bekerjasama untuk kesempurnaan rumah tangga kita. Sedangkan kalau ibu sendiri pun bukannya mampu sangat melayani ayahmu yang global itu. Sepinya istana kita kalau ketiadaan insan-insan mulia seperti ibu satu, ibu dua, ibu tiga. Yang mereka Ummi, Ummu, Walidah. Masing-masing kami mengambil satu perempat peranan. Ketiadaan seorang bererti rumah kehilangan satu perempat peranan. Ibu sendiri sangat dhaif untuk mengambil semua peranan-peranan itu, anakku.


Kamu semua dibesarkan dalam suasana inilah. Sebuah institusi global yang menyediakan seluruh keperluan ukhrawi dan duniawi untukmu. Percayalah bahwa apa yang kamu ada ini, sesungguhnya tiada pada anak-anak lain. Kalau adapun tidak sesempurna ini, anakku.


Adalah kerana ayahmu itu punyai cita-cita besar di muka bumi ini. Dia ingin meniru sejarah bagaimana ummat Islam memperolehi kegemilangannya. Bagaimana Rasulullah dan para sahabat melakukannya. Jelas sejarah mengatakan dia bermula dari rumah tangga. Institusi keluarga adalah tapak perjuangan. Bermodalkan taqwa mereka mencabut mazmumah lalu dapatlah ukhuwah dan keselarasan membangunkan empayar keluarga.


Akhirnya, wahai anakku, izinkan ibu berkata begini, bahwa Tuhan telah menjawab soalanku, mengapa dibenarkan lelaki beristeri lebih dari satu. Kerana Allah dan Rasul itu punya rancangan besar untuk orang-orang bertaqwa. Supaya mereka mengasaskan sebuah etnik yang mempunyai kekuatan yang cukup untuk diwariskan muka bumi Tuhan ini kepadanya. Allah berikan pada mereka rezeki, ilmu, pengikut, strategi, jalan keluar dari masalah, kesihatan, akhlak, dan tekhnologi dan lain-lain kekuatan, bukankah Allah berjanji bahwa taqwa adalah sumber sebenarnya bagi semua itu. Janganlah kamu tidak percaya bahwa Allah ada cara untuk lakukan itu semuanya, untuk orang-orang yang benar-benar mendalam perasaan terhadapnya.


Dengan anak yang ramai, kalau lima orang dapat jadi pemimpin, lima jadi pegawai tadbir, lima jadi koprat, lima motivator, lima ahli teknologi, dan lima jadi kerani, bukankah keluarga kita atas satu cita-cita akan menaungi bangsa untuk jadi empayar.


Kita bukan saja berdaulat di kalangan kita tapi juga di mata dunia. Dan waktu itu ibumu ini akan tercatat namanya oleh penulis sejarah sebagai seorang wanita yang terlibat sama dalam kerja-kerja besar ini, ikut membangun agama Allah di mata dunia. Apakah ini kecil nilainya anakku. Ada ke yang lain yang lebih besar dari ini bagi seorang wanita yang mendapat kesempatan hidup di bumi Tuhan ini. Susah sangat ke mazmumah terkutuk itu hendak diperangi, sedangkan tukarannya ialah sebuah penghargaan bertaraf dunia yang jadi tiruan dan rujukan bangsa-bangsa. Siti Hajar menghiasi Al-Quran kerana pengorbanan kecilnya bukan?.


Anakku,

Ketahuilah poligami adalah kasih sayang Tuhan pada wanita. Poligami adalah kecintaan Rasul pada ummatnya. Poligami adalah kasih sayang ayahmu pada ibu sebenarnya. Dia berikan segala-gala yang ibu perlukan untuk jadi wanita besar di dunia dan akhirat. Ibu bangga kalau nanti kau juga dapat melakukan ini untuk keluargamu, untuk suami dan anak-anakmu tercinta.

Sekian dari Ibu, bersama doa mendalam buatmu agar diberi hidayah dan taufik oleh Tuhan menjadi srikandi memperjuangkan kebenaran Allah dan Rasul.

Sekilas Tentang Poligami

Assalamulaikum..

Ramai yang tidak jelas dengan Poligami dalam Islam, beranggapan bahwa Islam menganjurkan poligami. Tetapi ada batasnya. Sebelum Empayar Islam berkembang , pengamal poligami sangat parah bahkan memiliki belasan isteri seperti raja melayu dahulu menjadi perkara biasa. Ianya tidak terbatas hanya di dunia Arab saja bahkan negara lain di dunia.

Menurut Al-Qur’an, pada dasarnya seorang lelaki diizinkan menikahi sehingga 4 orang wanita, selama ia mampu bersikap adil kepada semua isterinya. Lelaki tersebut harus menafkahi baik ekonomi, batin, dan perasaan secara menyeluruh jika ia menginginkan lebih dari satu isteri. Jika dia tidak mampu melakukannya, maka ia elakkan dari menikahi lebih dari satu (Q 4:3).Dalam hukum Islam tradisional, bahkan seorang laki-laki tidak diizinkan menikahi seorang wanitapun jika ia belum mampu memberi nafkah dan merawat seorang isteri (Q 24:33). Menurut para ahli sunnah agama, Al-Qur’an adalah satu-satunya kitab suci yang di dalamnya terdapat kalimat “marry only one”.

Al-Qur’an juga memperingatkan bahwa laki-laki tidak akan mampu berlaku adil diantara isteri-isteri walaubagaima tekun dan setulusnya dia mencuba (Q 4:129).

Dalam kisah turunnya ayat Al-Qur’an tentang poligami, kita mengetahui bahwa ayat ini diturunkan pada masa peperangan, di mana banyak janda akibat lumpuhnya para pejuang Islam. Hal ini menjadikan poligami sebagai pilihan yang masuk akal bagi para janda musim perang pada masa itu untuk memiliki suami yang mampu memberi nafkah dan melindungi.

Justeru, sebuah pernikahan yang didasari cinta, tanggung jawab, dan rasa saling menghormati, jauh lebih baik daripada perzinaan. Cuma wanita masa kini hanya sibuk memperjuangkan hak-hak mereka yang tentu telah diangkat martabat mereka di mata ISLAM yang suci.

Kahwin paksa adalah amat dilarang dalam Islam, seperti tertulis dalam Al-Qur’an (Q 4:19). Perkara ini tentu berkait secara langsung atau tidak terhadap isu poligami. Poligami baru boleh dilakukan setelah mendapat persetujuan dari isteri pertama. Bahkan menurut para ahli hukum Islam, isteri pertama boleh menyatakan keingginannya dalam kontrak pada awal pernikahan sekiranya dia tiidak mahu dimadu, dan suami harus patuh pada perjanjian tersebut.

Kesimpulan, poligami bukanlah masalah, melainkan ianya diatur dengan baik oleh segenap lapisan manusia yang melalui dan mengaturnya. Poligami tidak boleh dilakukan semata-mata berdasarkan nafsu sehingga ianya menyakiti hati isteri yang amat melampau. Amat tidak bijaksana kita mengamalkan Poligami dengan mengambil kenyataan dari ayat suci dan menggunakannya untuk kepentingan sendiri tanpa melihat konteks keseluruhan hidup dan latar belakang yang jelas.

Wallahu alam.